dari Mingguan Malaysia 26/10/08:
Mengguna pendekatan pujuk bukan tuntut
DUA buah parti komponen utama Barisan Nasional (BN) selamat mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti masing-masing. Kini MCA dan Gerakan diterajui oleh pemimpin baru. Ong Tee Keat bersama Chua Soi Lek dipilih sebagai Presiden dan Timbalan Presiden. Soi Lek membuat kejutan mengalahkan Setiausaha Agung, Ong Ka Chuan. Mereka menggantikan Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy yang tidak mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan kali ini.
Gandingan Dr. Koh Tsu Koon dan Chan Ko Youn pula memimpin Gerakan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden. Tsu Koon yang sebelum ini menjadi orang nombor dua parti memangku jawatan Presiden bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dr. Lim Keng Yaik manakala Ko Youn menggantikan Tsu Koon.
Mereka ini juga buat pertama kali akan memimpin parti masing-masing untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Satu tanggungjawab berat selepas prestasi buruk pada pilihan raya umum lalu.
Kini tumpuan tentulah kepada UMNO yang akan mengadakan pemilihan pada bulan Mac 2009. Ketika ini, pusingan pertama iaitu pencalonan bagi jawatan-jawatan Presiden sehinggalah ahli Majlis Tertinggi (MT) sedang berlangsung di peringkat bahagian dan akan berakhir bulan depan. Pada masa yang sama, UMNO juga sedang memilih pemimpin-pemimpin peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.
Dan ketika UMNO terus bergelut untuk membolehkan pemimpin-pemimpinnya melayakkan diri bertanding pelbagai jawatan, parti-parti komponen BN yang lain terutama MCA dan Gerakan sudah pun memperkemaskan jentera masing-masing. Diharapkan peralihan yang berlaku dalam parti-parti politik itu dapat membawa pembaharuan sebenar kepada politik BN.
Kurang menyenangkan
Namun apa yang kurang menyenangkan di kalangan parti komponen BN ialah timbul pelbagai isu atau lebih tepat 'desakan dan tuntutan' malahan seolah-olah ugutan yang dikemukakan oleh rakan-rakan UMNO ini. Terdapat juga kenyataan sensitif yang dilontarkan yang jika tidak ditangani akan melukakan hati orang lain. Kadangkala suara-suara itu menyalahkan UMNO yang akhirnya mampu melemahkan BN sendiri. Tidak dinafikan antara lain idea-idea ini dilontarkan bagi mendapatkan semula sokongan kaum mereka selepas mengalami tsunami politik pada pilihan raya umum lalu.
Lebih mendukacitakan, ada juga isu remeh temeh yang dibangkitkan berbanding isu-isu penting yang memerlukan keutamaan dan perhatian. Antara tuntutan yang menarik perhatian sebelum ini ialah penstrukturan semula jawatan dalam Dewan Tertinggi BN. MCA mahukan jawatan Timbalan Pengerusi BN. Apa pentingnya jawatan sekiranya setiap keputusan BN boleh dibuat berdasarkan persetujuan bersama? Begitu juga dakwaan mengenai UMNO yang dikatakan lebih dominan. Apakah yang dimaksudkan dominan dan kenapa harus jadi begitu perlu dilihat lebih jauh.
Sudah tiba masanya parti-parti komponen BN melupakan sementara isu remeh temeh untuk memenangi semula hati rakyat. Sebaliknya mereka perlu mencari punca kepada masalah yang menyebabkan rakyat menolak parti masing-masing pada pilihan raya umum lalu. Jangan cepat mencari silap orang lain.
Masing-masing perlu mencari punca kepada masalah dan kemudian merumuskan idea-idea bernas yang benar-benar dapat membantu BN menarik semula pengundi-pengundi pada pilihan raya umum akan datang terutama di lima negeri yang sudah jatuh kepada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Membiarkan satu atau dua parti komponen BN terus membuat tuntutan dan desakan yang pelbagai akan mendorong parti-parti komponen lain yang jumlahnya begitu banyak membuat tuntutan yang sama.
Tidak dinafikan, ada di kalangan parti komponen terpaksa bercakap secara terbuka untuk menunjukkan kepada penyokong masing-masing bahawa mereka sudah mula berani bersuara. Memang hasrat itu baik tetapi dalam semangat kerjasama komponen BN, kadangkala, apa yang diungkapkan itu amat sensitif serta menyinggung perasaan orang lain. Dan apabila isu-isu sensitif itu diulas maka akan timbul pula masalah lain.
Maka belajarlah untuk memahami apakah yang sensitif dan tidak sensitif ketika membuat 'tuntutan'. Berbincanglah secara berhemah. Hentikan tuduh menuduh di forum terbuka yang seolah-olah akan membuka pekung di dada atau mendedahkan keburukan orang lain yang akhirnya memberi ruang kepada lawan melemahkan BN. Ingatlah apabila ada orang 'bermain api' maka akan ada orang yang akan terus menyalakannya. Dalam dunia politik, orang lebih suka melihat api terus marak daripada mengambil langkah memadamkannya.
Justeru apa yang paling penting, gunakan pendekatan pujuk bukannya tuntut. Pujukan walaupun lambat mungkin lambat laun akan diterima. Pendekatan pujuk ini lebih baik daripada tuntutan keras yang boleh mencetuskan pelbagai masalah. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak berselerak, rambut tidak putus. Akhirnya kawallah kerosakan sebelum kerosakan itu boleh menghancurkan segala-galanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment