Sunday, October 26, 2008

MAJLIS PEGUAM ADA.. MEDIA BILA LAGI?

Isu Majlis Media, Majlis Akhbar terus jadi bualan

BERLARUTAN sehingga hari Kiamat agaknya ialah perbincangan demi perbincangan mengenai penubuhan Majlis Akhbar atau Majlis Media di Malaysia. Lalu pelbagai pihak bertanya: Bila lagi?

Penubuhan Majlis Akhbar disyorkan pada mulanya oleh Tun Razak pada awal 1970-an, tetapi hingga kini tahun 2008 tiada tanda- tanda ia akan wujud. Ataupun Majlis Media.

Pertanyaan berbangkit kembali pada majlis perbincangan bertajuk Dasar Media di Malaysia oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, pada hari Isnin lalu.

Pada 30 Oktober pula forum atas tajuk Masa Depan Media Massa Malaysia akan dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahad Shabery Cheek.

Kenangan pada masa lampau diperlukan. Pada bulan Ogos 1983 suatu simposium nasional atas tajuk Kearah Dasar Komunikasi Negara sebulat suara mengalu-alukan saranan dasar media, tetapi menolak sebarang undang-undang yang “mewujudkan satu lagi sistem kawalan, kerana yang dikehendaki ialah yang selaras dengan Rukun Negara.

Policy-yes, law-no. Symposium against additional press control, demikian tajuk akhbar Inggeris mengenainya.

Bersabit penubuhan Majlis Akhbar atau Majlis Media, suatu hakikat perlu diterima, iaitu wujudnya akhbar-akhbar bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Ada kalanya sesebuah akhbar tidak tahu apa yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar lain dan komentarnya bersabit sesuatu perkara, isu atau masalah mengenai apa jua bidang, termasuk politik atau kewangan, malahan juga agama.

Kritikan terhadap sesebuah akhbar yang dianggap “berat sebelah” atau menjadi “pak turut” kemudian menerima tepuk gemuruh pelbagai pihak lain, umpamanya para pelajar universiti yang aktif berpolitik.

Pelancong yang berkunjung ke Malaysia kemudian akan bertanya: Bagaimanakah matlamat menyatukan pelbagai kaum di Malaysia boleh dicapai jika akhbar-akhbar yang dibaca oleh pelbagai kaum menyiarkan “slant” berlainan.

Perkauman

Dalam sesebuah negara yang mempunyai lebih dari 10 parti politik termasuk yang bersifat perkauman, keinsafan bersama perlu mengenai pentingnya laporan saksama dan menghindarkan unsur-unsur perkauman.

Kebebasan akhbar memerlukan pelaksanaan oleh semua pihak, termasuk pihak berkuasa, bukan bergantung kepada pihak akhbar sahaja. Kerana, kesemuanya berada dalam kapal yang sama.

Muncul dewasa ini ialah apa yang dicatat sebagai citizen journalism di Amerika. Penulis-penulis bukan wartawan, terutama yang dipanggil bloggers membuat ulasan yang kadangkala dianggap terlalu bebas mengenai politik, agama, ekonomi, budaya dan lain- lain. Sensitiviti tiap kaum lain tidak dihiraukan.

Pada hakikatnya menjadi perhitungan utama ialah kekuasaan seperti pernah dinyatakan: “Politik bererti mengejar merebut kuasa dan ini terbukti dari sejarah manusia.

Dalam konteks masa kini ahli-ahli politik dan para wartawan memerlukan jasa baik satu sama lain. Ahli-ahli politik mesti menjelaskan dasar-dasar mereka, matlamat dan pelbagai kegiatan mereka. Ini ialah kerana mereka punca kekuasaan. Melalui saluran media, mereka mendedahkan imej dan seterusnya meminta diundi sekali lagi dan sekali lagi.

Pada ketika yang sama para wartawan menyertai proses politik. Apa yang mereka laporkan menjadi perspektif politik. Para wartawan menyampaikan kepada pihak berkuasa harapan, aspirasi, rungutan dan keluhan rakyat. Sesekali mereka melaporkan pendapat yang berbeza atau bercanggah. Kerana ada wartawan yang menganggap diri mereka sebagai pengawal. Kalau dalam bahasa Inggeris dianggap sebagai watchdogs.

Menjadi contoh ialah Majlis Akhbar seperti wujud di Britain, Sweden, Australia, New Zealand, India, Indonesia dan Thailand. Tetapi di negara-negara tersebut tiada akhbar pelbagai bahasa seperti di Malaysia yang juga mencerminkan kebebasan akhbar, sesuatu yang dituntut dalam negara sistem demokrasi.

Ia sesuatu kelebihan oleh negara Malaysia. Maka dengan itu sewajarnya di mana kaki dipijak di situlah langit dijunjung.

1 comment:

HANTURAYA HANTURAYA said...

RENCANA DARI MM 26 OKT.,2008.